dipetik daripada bulletin dalam friendster.
Baru-baru ini saya terdengar radio hot.fm ke apa saya tak pasti, suara macam Fauziah Fauzana kot. Ketika itu ada segmen cinta 3 segi, siapa yang ada pengalaman diminta berkongsi pengalaman itu.
Saya tak dengar sangat segmen itu, cuma ketika itu benak saya terlintas, cinta 3 segi atau banyak segi? Jika hanya 3 segi, bermakna kita kekurangan beberapa perasaan cinta yang patut ada di kalangan umat kini. Cinta pertama, sudah tentu kepada Allah s.w.t., diikuti Nabi junjungan kita, Rasulullah s.a.w. Ditambah pula jika cinta kepada diri sendiri dan cintakan ibu, bagaimana? Nah, lebih sudah pun 3 segi.
Baiklah, kita fokus kepada yang utama, yang pertama dan kedua sudah wajib ada dalam diri setiap umat Islam kini, kemudian diikuti dengan cintakan ibu, seterusnya ayah, dan lain-lain (diri sendiri, keluarga, saudaranya dan makhluk Allah s.w.t lain). Saya tidak memasukkan cinta kepada Islam, kerana sudah tentu kita cintakan Islam jika mencintai 2 yang utama itu.
Rujuk kembali hadith-13 mengenai cinta orang beriman dalam erti kata lain cinta seorang Muslim terhadap saudara lain. Rasulullah s.a.w. telah bersabda
“Bahawa tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.”
Maksudnya di sini, seorang Muslim hendaklah mencintai saudaranya yang lain seperti dia cintakan dirinya sendiri. Segala apa yang tidak baik untuk dirinya hendaklah jua dirasai untuk saudaranya, dalam maksud lain hendaklah dia berdoa untuk saudaranya segala kebaikan untuknya sebagaimana dia berdoa untuk kebaikan dirinya. Cintakan saudaranya ini merujuk Imam Nawawi adalah cinta meliputi orang Islam dan bukan Islam. Kita cintakan orang Islam agar mereka tidak terpesong akidah mereka dan dalam pada masa yang sama cintakan orang bukan Islam dengan berdoa agar mereka mendapat hidayah Allah s.w.t.
Lihatlah betapa urninya Islam dalam mengeratkan hubungan sesama makhluk. Kita disuruh agar mencintai saudara lain seperti cintakan diri sendiri. Namun, kebanyakan umat sekarang sudah lari daripada cinta-cinta yang sepatutnya, entah di mana silapnya terletak pada diri masing-masing, wallahu’alam.
Perang dan perpecahan di sana sini berlaku, lagi teruk bilamana Islam sendiri bergaduh sesama Islam, memberi ruang kepada musuh mencari peluang menjatuhkan Islam. Selain itu, akibat tidak cintakan makhluk Allah s.w.t., bumi ini, haiwan-haiwan dan tumbuhan sentiasa terancam oleh manusia. Di samping itu, jika tidak cintakan ibu dan ayah, bagaimana kita mahu cintakan keluarga? Secara tidak langsung apabila kita cintakan ibu dan ayah maka keluarga dan adik beradik sudah tentu kita cintakan sekali.
Oklah, yang tadi tu umum sangat mengenai cinta. Lebih tepat lagi, apabila kita cintakan makhluk melampaui batas sehingga terlupa cinta Allah s.w.t. dan RasulNya. Mengenai isu ‘couple’ kini yang jadi budaya wajib untuk kebanyakan remaja. Saya persoalkan adakah cinta ‘couple’ itu melebihi cintakan Allah s.w.t. dan RasulNya atau tidak? Jika ya, harap kita sama-samalah berhenti ‘couple’ kerana cinta seperti itu sudah mencemari kemurnian tauhid. Jika tidak, adakah kita sudah menjaga batas-batas pergaulan dan mengelakkan fitnah? Jika berjaya Alhamdulillah. Tetapi saya rasa kebanyakan ‘couple’ kini tiada yang berjaya dengan syarat itu, bermakna tetap melanggar syariat Islam. Jika melanggar syariat, sudah tentu kita tidak cintakan Allah s.w.t. dan RasulNya dengan sepenuhnya. Sedangkan jika pasangan kita suruh buat apa sahaja pun kita ikut gak, inikan pula Allah s.w.t.
Maaflah jika banyak sangat bebel, dah lama rasanya tak bebel camni. Tiba-tiba pula ada idea lepas dengar radio haritu. Kadang-kadang cinta kita hanya nampak 3 segi sahaja, walhal kita lupa ada Allah s.w.t. dan RasulNya paling utama, diikuti yang lain. Cinta 3 segi yang diwar-warkan kini hanya lebih merujuk kepada kegiatan keji manusia – yakni curang – dan tiada penghayatan cinta sebenar. Jika ada maksud cinta 3 segi yang lain pun, tetap tidak menyeluruh. Paling penting, cinta kita terhadap ibu, ayah, dan lain-lain hendaklah perasaan cinta yang mahukan mereka memasuki Syurga, bukan cinta nafsu semata-mata.
Mengapa tidak diguna istilah cinta pentagon(5 segi)?
Wallahu’alam…
Barakallahufikh… =)